KWSP terima 5.3 juta permohonan pengeluaran khas RM40.1 bilion

KWSP terima 5.3 juta permohonan pengeluaran khas RM40.1 bilion

KWSP berkata pembayaran akan dibuat secara berperingkat dengan pembayaran pertama bermula pada 20 April.

KWSP berkata Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi pengeluaran khas sebanyak 63%, diikuti Cina pada 12% dan India pada 7%.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima sejumlah 5.3 juta permohonan bernilai RM40.1 bilion bawah kemudahan pengeluaran khas setakat 8 malam, 14 April lalu.

Permohonan itu dibuka kepada ahli pada 1 April.

KWSP berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dengan pembayaran pertama bermula pada 20 April.

“Jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44% daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran bawah kemudahan ini.

“Dipecahkan mengikut pengkelasan gaji, ia mewakili 55% ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59% ahli M40 (RM1,701 – RM4,900) dan 39% ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900),” katanya sambil menambah sebanyak 29% ahli tidak formal dan tidak aktif juga telah memohon.

KWSP berkata, mengikut kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi sebanyak 63%, diikuti Cina pada 12% dan India pada 7% manakala jumlah 17% selebihnya terdiri daripada kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan bukan warganegara.

“Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan termasuklah mengalami pengurangan pendapatan (24%), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23%) dan menambah sumber kewangan (14%).

“Manakala tujuan pengeluaran adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/bulanan (40%), membayar tunggakan hutang (26%), menambah simpanan/ dana kecemasan (8%) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7%), dengan 27% selebihnya adalah untuk tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain, dan pelaburan,” katanya.

Dana pencen itu berkata, ia telah mengambil setiap aspek keselamatan bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau scammer (penipu dalam talian) daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli.

“KWSP ingin menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan pengeluaran khas mereka di platform media sosial, dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan aktiviti scam (penipuan dalam talian).

“KWSP juga mengingatkan ahli untuk mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu, dan membelanjakan wang mereka dengan bijak serta untuk tujuan yang sesuai,” katanya.

Kemudahan pengeluaran khas itu akan ditutup pada 30 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.