
Katanya, kerajaan Malaysia perlu mengikut saranan inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), “khasnya dalam menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa pelaku ke muka pengadilan”.
“Kami menggesa kerajaan Malaysia tidak berhenti sehingga kes itu selesai kerana keluarga Ruth dan orang ramai berhak tahu kebenarannya,” katanya susulan pengesahan inkuiri hari ini bahawa pastor itu dan Ruth, seorang warga Indonesia, merupakan mangsa kehilangan paksa.
Bagaimanapun, inkuiri itu yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam dan bekas hakim Hishamudin Yunus, tidak menemui bukti pasangan itu diculik oleh “ejen kerajaan”.
Kali terakhir Joshua, seorang Melayu yang menjadi penganut Kristian, dan Ruth, dilihat pada 30 Nov 2016 di rumah mereka, di Petaling Jaya.
Sementara itu, adik-beradik Ruth, Ram Ram Elisabeth dan Iman Sitepu berkata, keluarga mereka mahukan jawapan mengenai kehilangannya.
“Jika dia memang sudah mati, tolong kembalikan mayatnya kepada kami. Ia adalah satu-satunya perkara yang baik dan betul untuk dilakukan.”
Inkuiri itu mencadangkan polis meningkatkan siasatan mereka ke atas kehilangan pasangan itu dengan mengambil kira kritikan Suhakam.
Inkuiri itu yang turut disertai pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma berkata, seorang pegawai polis kanan yang berpangkat asisten superintendan (ASP) perlu mengambil alih, serta Bukit Aman digesa memantau perkembangan siasatan itu.
Terdahulu, ketika mengumumkan penemuan inkuiri itu, Hishamudin mengkritik polis kerana gagal menyiasat kes itu secara “tekun dan serius”.
“IO (pegawai penyiasat) tidak kompeten dan tidak serius dalam menjalankan siasatan di peringkat awal. Kes itu sepatutnya diberikan kepada seorang pegawai kanan.”
Hishamudin berkata, polis patut mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) mereka dalam mengendalikan kes orang hilang, khasnya yang memperlihatkan “keadaan luar biasa menunjukkan kemungkinan penculikan atau kehilangan seseorang secara paksa”.
“Ini termasuk latihan ketat mengenai protokol komunikasi dan memaklumkan kemajuan kes kepada ahli keluarga dan orang ramai dari semasa ke semasa.
“Kami turut mencadangkan kerajaan mengkaji semula Kanun Keseksaan untuk menggabungkan kesalahan kehilangan paksa atau bukan sukarela sebagai kategori berasingan khusus untuk kes membabitkan orang hilang.”