
Wee berkata, beliau mendengar dan memahami keluhan orang ramai, terutamanya pengguna pengangkutan udara, mengenai peningkatan tersebut.
“Saya telah mempengerusikan satu mesyuarat khas yang melibatkan pihak Kementerian Pengangkutan, Mavcom, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat,” kata Wee dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Mavcom, CAAM dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbangkan dan meluluskan permohonan syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan dan pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara, selain melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.
“CAAM telah meluluskan lanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan. Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan,” kata Wee.
Beliau berkata, kenaikan harga itu adalah disebabkan kos operasi, penyelenggaraan dan pembaikan sebelum pesawat diluluskan untuk penerbangan.
“Syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat wabak Covid-19,” katanya.
“Pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.”
Selain itu katanya, syarikat penerbangan terpaksa menyimpan pesawat mereka apabila negara menguatkuasakan sekatan pergerakan.
“Setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan permintaan daripada pengguna meningkat, syarikat penerbangan akan memerlukan lebih banyak masa dan alat gantian untuk kesiapsiagaan pengoperasian semula,” kata Wee.
Jelasnya, kementeriannya komited untuk menurunkan tambang bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menzahirkan kekecewaannya terhadap Wee kerana gagal mengatur penerbangan tambahan sedangkan peningkatan permintaan semasa musim perayaan dapat diramal memandangkan ia berlaku setiap tahun.
“Soalan cepu emasnya, mengapa kerajaan nampaknya langsung tidak berbuat apa-apa mengenai perkara ini melainkan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat yang tidak memanfaatkan rakyat Sabah?”