
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Izzah mungkin menyangka beliau tidak mempunyai peluang yang baik untuk menang jika bertanding.
Bagaimanapun Azmi percaya, paling tidak, beliau perlu menyasarkan untuk menjadi salah seorang naib presiden.
Azmi berkata, prospeknya untuk melangkah naik dalam kepimpinan PKR akan terjejas, manakala ahli parti akan mendapati sukar untuk memandang tinggi kepadanya sebagai salah seorang pemimpin utama apabila Anwar Ibrahim akhirnya berundur sebagai presiden.
“Ini adalah masa yang tepat untuk beliau sekurang-kurangnya menjadi salah seorang naib presiden memandangkan bapanya masih presiden. Pengaruh bapanya bagus untuknya,” katanya kepada FMT.
“Ini akan menjadi kerugian bagi PKR kerana beliau dilihat sebagai sebahagian daripada generasi baharu ahli politik akan datang, bukan sahaja dalam PKR tetapi dalam politik negara, sama seperti Rafizi Ramli atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Ia satu kerugian bagi generasi muda juga yang mahu melihat pemimpin baharu.”
Bagaimanapun Azmi berkata, bekas naib presiden PKR itu mungkin mengikut jejak langkah Rafizi, yang berundur daripada arena politik pada Disember 2019 dan mengumumkan penyertaan semulanya bulan lepas.
“Apabila tiba masanya, beliau akan kembali,” katanya, selain menambah bahawa Nurul Izzah “mungkin akan bertindak” apabila peluangnya lebih baik untuk memenangi jawatan.
Pada 12 April, Nurul Izzah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan PKR akan datang, walaupun beliau digembar-gemburkan akan berganding dengan Rafizi bagi salah satu jawatan naib presiden.
Naib Presiden PKR Tian Chua percaya bahawa kebanyakan ahli parti dan rakyat menerima rasionalnya untuk tidak bertanding.
“Seorang pemimpin sentiasa boleh memimpin dan memberi inspirasi tanpa perlu memegang jawatan,” tegasnya.
Terdapat pelbagai cara untuk memimpin, kata Tian Chua, selain menambah bahawa Nurul Izzah boleh kekal berpengaruh jika beliau terus berhubung dengan akar umbi.
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania percaya “Puteri Reformasi” itu mengecewakan orang ramai dengan tidak bertanding kerana ramai menjangkakan beliau akan kembali bersama Rafizi dan menerajui gerakan reformasi.
Bagaimanapun, beliau percaya Nurul Izzah mempunyai strategi dan alasan kukuh mengapa beliau tidak mengambil bahagian dalam pemilihan parti.