Kerani rugi RM152,500, ‘kasanova’ tipu beberapa wanita ditahan

Kerani rugi RM152,500, ‘kasanova’ tipu beberapa wanita ditahan

Kerani itu menyerahkan barang kemas bernilai RM30,000 dan memberikan wang tunai sebanyak RM122,500 secara berperingkat kepada suspek.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa kelmarin. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang kerani mengalami kerugian sebanyak RM152,500 selepas diperdaya seorang “kasanova” tempatan yang dikenalinya menerusi laman media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Mohd Mahidisham Ishak berkata, selepas berjanji akan mengahwini mangsa, suspek meminta bantuannya untuk membayar hutang peribadi dan perbelanjaan perkahwinan.

“Rentetan itu mangsa telah berjumpa dengan suspek di sebuah bilik hotel di ibu negara dan menyerahkan barang kemas bernilai RM30,000.

“Dalam perjumpaan lain, suspek kemudiannya menunjukkan dokumen pembelian rumah kepada mangsa dan meminta bantuan mangsa untuk berkongsi pembayaran wang deposit pembelian rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, wanita berusia 39 tahun itu kemudian memberikan wang tunai sebanyak RM122,500 secara berperingkat kepada lelaki terbabit.

Katanya, mangsa kemudian mendapat tahu suspek pernah melakukan perkara sama terhadap beberapa wanita di hotel sama dan terus membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan pada 13 April lalu, Mahidisham berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di Lembah Klang.

“Tangkapan tersebut membawa kepada rampasan tiga telefon bimbit, wang tunai RM18,000, sembilan keping jongkong emas pelbagai berat, lapan keping dinar pelbagai berat dengan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000,” katanya selain menambah bahawa suspek direman sehingga esok.

Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang terlebih dahulu sebelum memulakan komitmen percintaan.

“Semakan nombor akaun diberikan boleh dibuat menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.