Kecualikan cukai untuk tiket filem tempatan juga, Selangor digesa

Kecualikan cukai untuk tiket filem tempatan juga, Selangor digesa

Jika Selangor meluaskan pengecualian cukai hiburan kepada industri filem, ia boleh mendorong kempen untuk negeri lain mengikutinya, kata PPFM.

Pengecualian cukai ke atas tayangan filem tempatan akan membantu industri pulih, kata PPFM.
PETALING JAYA:
Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PPFM) menggesa kerajaan Selangor memperluas pengecualian cukai ke atas persembahan pentas untuk turut merangkumi tayangan filem tempatan.

Presiden PPFM Panchacharam P Nalliah berkata, ini akan membantu memulihkan industri yang sedang bergelut itu, terutamanya memandangkan Selangor dan Kuala Lumpur adalah pasaran terbesar bagi filem tempatan.

“Jika Selangor meluaskan (pengecualian) cukai hiburan kepada filem tempatan, maka ia akan menjadi kayu pengukur yang boleh kita gunakan untuk berkempen agar negeri lain mengikutinya.

“Pada masa ini, 25% daripada setiap tiket filem yang dijual dikutip oleh negeri, meninggalkan baki 75% untuk dikongsi antara pengusaha pawagam dan penerbit filem,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Selangor mengecualikan duti hiburan sebanyak 15% ke atas semua persembahan pentas artis tempatan.

Bawah Akta Duti Hiburan 1953, negeri boleh mengenakan duti atau cukai ke atas setiap bayaran masuk ke tempat hiburan.

Panchacharam berkata, dalam jangka panjang, duti hiburan untuk filem tempatan yang dikutip oleh perbendaharaan negeri harus dipulangkan kepada penerbit filem bagi membantu industri, dengan menambah, ia merupakan amalan terdahulu.

“Pada 1980-an, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berjaya mendapatkan semua negeri untuk membayar balik duti hiburan yang dikutip daripada filem-filem Melayu kepada penerbit filem.

“Ia bertahan beberapa tahun tetapi kemudian mereka menghentikan amalan itu kerana pada masa itu prestasi filem Melayu bagus dan negeri kerugian banyak hasil.”

Sementara itu, pemilik syarikat acara PR Worldwide, Para Rajagopal berkata, Akta Duti Hiburan harus dikaji semula.

Katanya, kurang jelas bagaimana akta tersebut dalam bentuk semasanya memberi manfaat kepada industri.

“Duti hiburan harus digunakan untuk penambahbaikan industri tetapi tiada mekanisme yang jelas untuk menunjukkan bahawa ia (digunakan untuk tujuan ini),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pengguna akhirnya akan menanggung beban cukai hiburan kerana perniagaan akan menyalurkannya kepada mereka.

“Selain itu, mekanisme kutipan membantutkan (industri) kerana penganjur acara dikehendaki membayar duti hiburan walaupun sebelum menjual tiket,” katanya.

Para berkata, walaupun cukai yang dikutip ke atas tiket yang tidak terjual akan dikembalikan, proses ini mengambil masa berbulan-bulan.

Kajian semula akta itu harus melibatkan input industri, katanya.

“Selalunya, mereka tidak rujuk pengusaha industri. Saya rasa perlu ada lebih dialog antara industri dan penggubal dasar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.