Bella tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’

Bella tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’

Saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood berkata, selepas daripada insiden itu Bella sering dimarah dan dipukul oleh Siti Bainun.

Semenjak kejadian tertarik langsir itu berlaku, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, sering memarahi dan memukul remaja sindrom Down, iaitu Bella, kata saksi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tertarik langsir sehingga besi tercabut dikatakan menjadi punca pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ‘naik hantu’ dan mula tidak menyukai remaja sindrom Down, Bella.

Menurut keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, selepas daripada insiden itu Bella sering dimarahi dan dipukul oleh Siti Bainun.

“Bella pernah masuk bilik kedua, iaitu bilik yang menempatkan saya dan adik-adik (penghuni) lain. Bella tertarik langsir hingga besinya tercabut.

“Selepas kejadian, Bainun jadi marah dan pukul Bella. Tarikh kejadian saya tak ingat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, Siti Bainun juga pernah mengarahkannya membogelkan Bella sebelum diikat dengan tali dan dibaringkan dan dicurah air panas.

“Saya diarahkan Siti Bainun untuk pastikan Bella tidak bergerak dan menyasarkan di bahagian tertentu sebelum dicurah air. (Ia menyebabkan) ada kesan parut di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut Bella,” katanya.

Keterangan Yasmin itu dibuat ketika menjawab soalan peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun pada sesi pemeriksaan balas dalam kes pengabaian dan penganiayaan terhadap Bella di hadapan hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Yasmin juga bersetuju dengan cadangan Asiah, bahawa Bella dicurah air panas tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.

“Saya ambil air panas itu daripada alat penapis air. Air itu ada keluar wap dan pernah tertumpah,” katanya.

Yasmin dalam keterangannya sebelum ini berkata, Bella didera Siti Bainun setiap hari selama hampir empat bulan dan berlaku pada setiap malam, sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.