Aktivis tolak alasan P Pinang berhubung rancangan tempatan

Aktivis tolak alasan P Pinang berhubung rancangan tempatan

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata kerajaan negeri tidak seharusnya menyalahkan perundangan apabila banyak bandar dapat laksana rancangan tempatan mereka lebih awal.

Persoalan mengenai rancangan tempatan dibangkitkan sekali lagi susulan laporan bahawa projek pembangunan mega telah dirancang di atas tanah yang mempunyai rumah warisan berusia berabad lamanya di Burmah Road, George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Seorang aktivis menolak alasan kerajaan Pulau Pinang bahawa “perundangan” menghalangnya daripada memperkenalkan dan menguatkuasakan rancangan tempatan, dengan berkata, pelaksanaannya sudah terlambat 40 tahun.

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya menyalahkan undang-undang susulan banyak bandar dapat melaksanakan rancangan tempatannya lebih awal.

“Mengapa Pulau Pinang terkecuali? Penjelasan mengenai undang-undang adalah percubaan untuk mengelirukan rakyat,” kata Meenakshi kepada FMT.

“Kurangnya rancangan tempatan memberikan fleksibiliti untuk negeri melakukan apa yang dikehendaki, tertakluk hanya kepada parameter luas pelan struktur Pulau Pinang (RSN) pertama yang tidak cukup terperinci.”

Meenakshi Raman.

Katanya, tanpa rancangan tempatan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bebas untuk membenarkan pembangunan tidak terhalang.

Rancangan tempatan menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibina di mana-mana kawasan, dengan pengezonan yang ketat untuk membolehkan pembangunan yang berkaitan di mana-mana satu tempat.

Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini berkata, proses perundingan undang-undang dan awam, antara lain, menghalang rancangan tempatan daripada dilaksanakan.

“Selepas 40 tahun sejak RSN diperkenalkan pada 1980, kita tidak pernah sekali pun mempunyai rancangan tempatan yang diwartakan. Selepas setiap pelan struktur, pelan tempatan biasanya diperkenalkan,” kata Meenakshi.

Beliau berkata, RSN tidak cukup terperinci kerana ia merupakan pelan tindakan perancangan bandar peringkat makro untuk negeri itu, yang membentangkan rancangan taburan dan menggariskan rancangan pembangunan bukan secara terperinci.

Menurutnya, tanpa rancangan tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang bergantung kepada pelan dasar 1996, dokumen yang didakwanya dibuat tanpa sebarang perundingan awam.

Katanya, ia berkemungkinan menyalahi undang-undang di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (TCPA) kerana rancangan 1996 itu tidak mendapat maklum balas orang ramai seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.

Persoalan mengenai rancangan tempatan dibangkitkan sekali lagi susulan laporan bahawa projek pembangunan mega telah dirancang di atas tanah yang mempunyai rumah warisan berusia berabad lamanya di Burmah Road. Aktivis warisan menyeru agar kawasan itu dipulihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.