Subsidi ayam, telur disemak semula esok, kata menteri

Subsidi ayam, telur disemak semula esok, kata menteri

Kementerian pertanian dan industri makanan akan mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan membincangkan peningkatan kos pengeluaran.

Peniaga dilaporkan terpaksa menjual ayam melebihi harga siling susulan pemborong menjual bekalan pada harga RM8.70 per kg.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyemak semula nilai subsidi bagi ayam dan telur kata menterinya, Ronald Kiandee.

“Kami akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi berkaitan esok untuk membincangkan isu kenaikan kos dan subsidi ditetapkan kerajaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pihak kementerian menyedari kos bekalan ayam meningkat berbanding harga siling RM8.90 per kg yang ditetapkan kerajaan.

“Itulah sebabnya kita memperkenalkan subsidi hampir sebulan lalu,” katanya.

Pada 28 Feb, Kiandee mengumumkan kerajaan menyediakan subsidi kepada penternak ayam membabitkan 60 sen per kg bagi ayam dan 5 sen bagi telur gred A, B, dan C.

Pemberian subsidi berkenaan bertujuan mengurangkan beban penternak susulan peningkatan kos, terutama kos makanan, yang merangkumi 70% daripada kos pengeluaran, selain logistik, buruh, utiliti dan perubatan.

“Tapi kami akui subsidi 60 sen/kg bagi ayam hanya memberi manfaat dalam tempoh hampir dua bulan kerana kos mengimport jagung tidak kekal dan meningkat.

“Industri itu pastinya terkesan dengan kos makanan haiwan yang meningkat. Jadi kami akan bincangkannya dalam mesyuarat esok.”

Negara berdepan kekurangan sumber protein popularnya susulan peningkatan kos makanan ayam dan kekurangan buruh.

Dilaporkan peniaga ayam menjual ayam melebihi harga siling dengan mendakwa tidak mempunyai pilihan susulan pemborong menjual bekalan ayam pada harga RM8.70 per kg.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin, mencadangkan harga siling bagi ayam standard dinaikkan kepada RM9.90 per kg kerana kekurangan bekalan itu.

Cadangan berkenaan disokong oleh Presiden Gerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh yang berkata, peningkatan harga siling akan memberi motivasi kepada penternak ayam untuk mengekalkan kadar pengeluaran mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.