
Ketua Penerangannya Luqman Long berkata, perhatian serius dalam menangani isu kematian dalam tahanan perlu dibuat segera kerana ia akan menyelamatkan lebih banyak nyawa yang tidak bersalah daripada terkorban dalam tahanan pihak berkuasa.
Susulan itu, Muda menggesa tiga langkah segera yang harus diambil oleh kerajaan antaranya ialah menubuhkan unit kesihatan atau pusat rawatan di setiap pusat tahanan polis.
“Menurut laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), hanya lima daripada 400 lokap di Malaysia dilengkapi dengan Unit Kesihatan Tahanan (UKT). Ini adalah jumlah yang terlampau sedikit untuk melindungi kesihatan semua tahanan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, langkah kedua ialah dengan membuka ruang untuk badan bebas menyiasat kes kematian dalam tahanan bagi memastikan semua bentuk siasatan dijalankan dengan telus dan membentuk keyakinan orang ramai kepada institusi polis.
“Malah cadangan ini juga adalah antara yang diusulkan oleh 50 badan pada 11 Feb 2022 termasuklah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Muda,” katanya.
Ketiga, parti itu menggesa disegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi memperkasakan integriti pihak polis.
“15 kematian dalam tahanan yang berlaku dalam tempoh 103 hari pada tahun ini bukan satu angka yang munasabah dan boleh diterima sebagai satu insiden dalam lokap semata-mata.
“Isu kematian dalam tahanan juga adalah isu yang merentas fahaman politik. Perkara ini melibatkan nyawa rakyat, imej baik pasukan polis serta keyakinan orang ramai kepada institusi keselamatan negara,” katanya.