Mansuh pakai pelitup muka mesti disokong sains, kata ahli Parlimen DAP

Mansuh pakai pelitup muka mesti disokong sains, kata ahli Parlimen DAP

Dr Kelvin Yii menasihatkan orang awam sentiasa berwaspada dan terus memakai pelitup muka.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, negara tidak merekodkan lonjakan menegak susulan pendekatan lebih konservatif yang diambil dengan menguatkuasakan SOP Covid-19, termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, sebarang kelonggaran terhadap peraturan Covid-19, termasuk cadangan memansuhkan pemakaian wajib pelitup muka mesti disokong sains dan data.

Ketua Pemuda DAP itu juga berkata, data menunjukkan kemungkinan penyebaran wabak Covid-19 lebih rendah ketika berada di kawasan terbuka, justeru menjadikan keadaan “agak selamat” untuk tidak memakai pelitup muka.

Bagaimanapun Yii berkata, data juga menunjukkan negara yang “terlalu melonggarkan” sekatan menyaksikan peningkatan mendadak jumlah jangkitan, termasuk sistem kesihatan awam yang terbeban dan kualiti penjagaan pesakit terjejas susulan itu.

“Antara sebab tidak berlaku lonjakan menegak di negara kita walaupun mengambil kira jangkitan varian Omicron adalah didorong oleh pendekatan lebih konservatif kita dalam menguatkuasakan SOP, termasuk kewajipan memakai pelitup muka.

“Data menunjukkan kemungkinan rendah (jangkitan Covid-19), tidak bermakna virus itu tidak boleh merebak di kawasan terbuka, terutama di kawasan tumpuan ramai dan sesak.

“Itulah sebabnya saya gembira kerajaan Malaysia tidak mengikut pendekatan Singapura yang melonggarkan sekatan pemakaian pelitup muka pada bulan Ramadan yang padat dengan penganjuran bazar Ramadan,” katanya dalam kenyataan.

Yii, yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung kesihatan, bagaimanapun berharap pemakaian pelitup muka dijadikan pilihan selepas Hari Raya.

Namun, beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan terus memakai pelitup muka di kawasan sesak dan ramai orang dan di kawasan terbuka.

Semalam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menyarankan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan langkah memansuhkan kewajipan memakai pelitup muka.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sepatutnya mengkaji pendekatan negara lain dalam menangani pandemik Covid-19 dengan merujuk kepada negara seperti Singapura dan United Kingdom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.