Mansuh atau tidak daftar masuk MySejahtera diumum 2 minggu lagi, kata Khairy

Mansuh atau tidak daftar masuk MySejahtera diumum 2 minggu lagi, kata Khairy

Menteri kesihatan berkata, ia susulan penurunan purata daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera ketika negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Khairy Jamaluddin berkata, keperluan daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera masih relevan bagi memaklumkan individu yang menjadi kontak kasual kepada kes positif Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Keputusan untuk melonggarkan syarat daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera akan dimaklumkan dalam satu hingga dua minggu lagi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perkara itu mengambil kira perkembangan semasa negara yang telah melepasi kemuncak gelombang Omicron dan kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“Untuk fasa peralihan ini, sama ada kami berpuas hati dengan trend jangkitan yang tidak perlu lagi kepada pengesanan secara mikro, atau kita berani untuk melonggarkan daftar masuk MySejahtera, kita akan buat (keputusan).

“Kementerian Kesihatan sedang pantau dari segi corak jangkitan dan kita akan buat keputusan dalam seminggu dua lagi, sama ada kita akan teruskan atau tidak dari segi imbasan masuk MySejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Khairy menjawab pertanyaan mengenai penurunan purata daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sama ada penggunaannya masih relevan dalam fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata, walaupun negara dalam fasa peralihan ke endemik, prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 masih mewajibkan setiap individu mendaftar masuk menggunakan aplikasi itu, kecuali di kawasan terbuka.

Katanya, keperluan daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih relevan bagi memaklumkan kepada mereka yang didapati menjadi kontak kasual kepada kes positif Covid-19.

“Di puncak kes gelombang Omicron, kita dapati daripada kontak kasual yang telah dihantar notifikasi MySejahtera, 45% adalah positif dan mereka mengambil langkah untuk isolasikan diri.

“Jadi, hendak kata sistem pengesanan kontak (aplikasi MySejahtera) ini tidak relevan lagi, saya tidak berapa setuju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.