
Naib Presidennya, Lim Wei Jiet berkata, Muda berharap Mahkamah Rayuan akan mendengar kes itu dan memutuskan sama ada fakta kes itu termasuk dalam definisi kesalahan “memandu secara melulu” untuk mewajarkan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan.
“Jutaan pemandu kenderaan di Malaysia berhak mengetahui dengan jelas apa yang terjumlah (dimaksudkan) sebagai kesalahan jenayah memandu secara melulu di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, ramai pemandu di Malaysia takut mereka mungkin menghadapi situasi sama, terutama mereka yang bekerja pada waktu malam seperti sektor kesihatan dan keselamatan.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjadi duluan merisaukan, di mana pemandu kereta boleh dipenjarakan jika gagal mengelak basikal lajak yang berlumba di jalan raya pada waktu malam, meskipun memandu di bawah had laju dan tanpa sebarang pengaruh dadah atau alkohol.
Semalam, Sam Ke Ting, 27, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh mahkamah kerana memandu secara melulu berhubung kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai lima tahun lalu.
Sam, yang didakwa menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi pada 18 Feb 2017, dibebaskan Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 pada akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 18 Feb 2021 memerintahkan beliau membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret sekali lagi melepas dan membebaskannya.
Pihak pendakwaan merayu sekali lagi ke Mahkamah Tinggi, yang mendapatinya bersalah. Hari ini, Sam memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.
Lim berkata, Muda berharap hukuman penjara terhadap kerani itu dapat ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.