Harga tiket naik hingga 500% akan jejas pelancongan Sabah, kata menteri

Harga tiket naik hingga 500% akan jejas pelancongan Sabah, kata menteri

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berharap menteri pengangkutan akan mengambil tindakan untuk menangani keadaan itu.

Sabah menjangkakan kehadiran 1.3 juta pelancong, namun sasaran itu mungkin terjejas dengan kenaikan mendadak harga tiket penerbangan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, harga tiket penerbangan yang melambung sehingga 500% daripada kadar biasa akan menjejaskan sektor pelancongan di Sabah.

Katanya, Sabah menjangkakan kehadiran 1.3 juta pelancong, namun sasaran itu mungkin terjejas dengan kenaikan mendadak harga tiket penerbangan.

“Kebelakangan ini, kita menerima rungutan daripada penumpang tentang harga tiket melambung sehingga 500% menjelang perayaan.

“Walaupun ini merupakan strategi perniagaan, tetapi yang diputuskan Jemaah Menteri pada mesyuarat baru-baru ini, kerajaan negeri memandang serius dan kita minta kalau boleh Kementerian Pengangkutan berbincang dengan syarikat penerbangan ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan kementeriannya di sini.

Jafry berkata, syarikat penerbangan sepatutnya tidak menaikkan harga begitu tinggi sehingga membawa kesan kepada pelancong dan rakyat yang mahu pulang beraya di Sabah.

Beliau berkata, hasil semakan di beberapa laman sesawang syarikat penerbangan tempatan juga mendapati harga tiket penerbangan meningkat berkali ganda.

“Saya ambil contoh hari ini saja, penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau mencecah RM1,300, ini terlampau tinggi.

“Biasa dalam RM300, RM100 lebih. RM200 pun sepatutnya tidak menjadi masalah, tetapi ini RM1,300 sangat melampau.”

Sehubungan itu, beliau berharap menteri pengangkutan akan mengambil tindakan untuk menangani keadaan itu.

“Untuk datang ke Sabah, hanya melalui akses penerbangan dan kalau kita gagal menggunakan akses ini dengan harga yang begitu tinggi dan sebagainya, ia akan menjejaskan kehadiran pelancong.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.