Fahmi Reza ditahan kongsi potret beruk bertengkolok, kata peguam

Fahmi Reza ditahan kongsi potret beruk bertengkolok, kata peguam

Rajsurian Pillai yang mewakili pereka grafik itu berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim Fahmi Reza untuk tujuan siasatan.

Fahmi Reza ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 4.20 petang tadi.
PETALING JAYA:
Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza ditahan polis kerana menghasut selepas berkongsi potret seekor beruk memakai tengkolok dan berkeris seperti bangsawan.

Peguamnya, Rajsurian Pillai berkata, Fahmi ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman pada 4.20 petang tadi, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Polis merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim Fahmi untuk tujuan siasatan.

“Mereka akan memohon perintah reman esok,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dalam ciapannya hari ini memaklumkan, beliau dipanggil polis berhubung kartun satiran berbentuk potret seekor beruk bertengkolok yang dimuat baik ke Twitternya tanpa sebarang keterangan malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan, berkata Fahmi disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 susulan hantaran imej karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning yang dimuat naik ke media sosial.

Katanya, selain itu, Fahmi juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh institusi diraja serta sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.