
Peguam utama, Shafee Abdullah mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam perbicaraan kes bunuh itu merujuk keterangan pakar, Sa’ad Mat Nasib, pada prosiding terdahulu.
Sa’ad adalah Pegawai Turus StaRT (Persenjataan/Komander UPB) Ibu Pejabat Polis Selangor.
“Merujuk kepada barang kes, beliau (Sa’ad) berkata tidak boleh mengecualikan kemungkinan letupan susulan cas berlebihan,” kata Shafee.

“Saya tidak boleh mengecualikan kemungkinan telefon berkenaan terlebih cas dan cas berlebihan boleh menyebabkan letupan. Terlebih cas boleh menyebabkan bateri mengembung dan meletup dan percikan api boleh menyebabkan kebakaran,” kata Sa’ad dalam penghujahannya dalam penutupan kes pendakwaan.
Shafee berkata, telefon jenis Blackberry S2 yang dicas 90% musnah manakala satu lagi telefon, Huawei, yang berada bersebelahan Blackberry itu, “hampir dalam keadaan sempurna”.
Beliau berkata, Sa’ad satu-satunya individu pakar yang ditampilkan pendakwaan, manakala anggota bomba yang berada di lokasi kejadian bukan pakar untuk menyiasat, menganalisis dan mentafsir kejadian pembunuhan dan jenayah.
Shafee juga berkata, kesan kecederaan pada kepala Nazrin berbentuk sudut dan konsisten dengan corak di sudut bingkai katil.
“Mungkin beliau bangun daripada tidur, hilang keseimbangan, jatuh dan kepalanya terhantuk pada bingkai di sudut katil dan terlentang di atas lantai,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman bersambung pada 12 April.
Samirah dan dua remaja, bersama warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas dituduh membunuh Nazrin di kediamannya di Mutiara Damansara, pada 14 Jun 2018.
Dua remaja berkenaan tidak boleh dinamakan kerana masih bawah umur ketika kejadian.