SPRM rakam keterangan 3 saksi berkait isu tanah lapangan terbang

SPRM rakam keterangan 3 saksi berkait isu tanah lapangan terbang

Tiga individu terbabit terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan kerajaan negeri.

Lapangan terbang baharu di Seri Iskandar dicadang menggantikan lapangan terbang di Ipoh. (Gambar fail)
IPOH:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memanggil tiga saksi bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah tapak pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak, Mohd Fauzi Mohamad berkata, individu yang dirakam keterangan terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri.

“Setakat ini, tiada individu yang ditahan dan kajian terhadap dokumen yang diperoleh masih dijalankan untuk memangil saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Fauzi dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan mulai minggu ini yang dilakukan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Asmuni Awi, pada 5 April lalu.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata, tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, Adun Aulong, Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa, tanah cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata, perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.