
Dalam kenyataannya hari ini, Ramkarpal yang juga peguam berkata, Sam sepatutnya memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan memandangkan tertuduh sebelum ini dua kali dibebaskan oleh Mahkamah Majistret.
“Apa sahaja usaha perlu dilakukan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dengan segera, mengambil kira Sam sebelum ini didapati tidak bersalah ke atas pertuduhan dikenakan kepadanya.
Tonton video di sini.
“Jika Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan, Sam boleh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan,” katanya.
Katanya, sebelum ini, majistret membuat pelbagai penemuan fakta menjurus kepada pembebasan Sam, yang lazimnya tidak diganggu dalam rayuan melainkan didapati sebaliknya.
“Walaupun Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menolak penemuan majistret, lazimnya ia tidak dilakukan kerana Mahkamah Rayuan kebiasaannya lambat untuk mengganggu penemuan fakta di mahkamah rendah.
“Sama ada hakim Mahkamah Tinggi melakukan sebarang kesilapan yang mewajarkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan masih perlu dilihat selepas kajian teliti berhubung alasan penghakimannya,” katanya.
Ramkarpal berkata, Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP bersedia memberikan bantuan guaman kepada Sam dan pasukan peguamnya dalam memfailkan dan mendengar permohonan itu untuk kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, peguam Sam berkata, beliau akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan hukuman di Mahkamah Rayuan, namun hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar, menolak permohonan itu dan memerintahkan Sam menjalani hukumannya, hari ini.
Peguamnya, Faizal Mokhtar, ketika memberitahu FMT menyatakan beliau berharap dapat memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, esok.
Sam yang dikenakan tuduhan mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017, dibebas dan dilepaskan Mahkamah Majistret, pada 28 Okt 2019, pada akhir kes pendakwaan tanpa pembelaan dipanggil.
Bagaimanapun, pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam membela diri selepas membenarkan permohonan pendakwaan.
Pada 10 Okt 2021, majistret Johor Bahru, sekali lagi membebas dan melepaskan tertuduh.
Susulan itu, pendakwaan kemudian merayu sekali lagi di Mahkamah Tinggi.