
Dalam kejadian 9 malam, mereka yang terbunuh ialah Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15, Muhamad Firdaus Mohd. Azli, 15 dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14.
Nordanial meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Firdaus dan Tahfiz meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jeli.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Aidil Darwisy Mohammad Azhary, 15, parah di kepala dan kini menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Shuhaimi Jusoh berkata, empat remaja itu masing-masing menunggang SYM Bonus, Honda EX5, Modenas Kriss dan Demak Evo Z dengan tidak memakai topi keledar.
“Mereka dipercayai datang dari Kampung Satan menuju ke Jalan Malaysia dengan melalui laluan tanpa lampu jalan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal ditunggang salah seorang mangsa bergesel dengan sebuah lagi hingga menyebabkan perlanggaran sesama mereka,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Shuhaimi berkata, siasatan lanjut mendapati nahas dipercayai berpunca daripada kecuaian selain keadaan jalan gelap dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.