
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata, mereka sedang diawasi oleh polis Thailand.
Katanya, remaja lelaki terbabit akan dihadapkan ke mahkamah di Thailand pada 10 Mei kerana memasuki negara itu secara haram.
“Ketua polis Mae Sot mengasihani mereka dan menjadi penjamin sehingga tarikh perbicaraan mahkamah,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, ibu bapa remaja terbabit akan menghadiri prosiding di bandar barat Thailand berhampiran sempadan dengan Myanmar itu.
Ibu bapa mereka, yang turut hadir pada sidang media itu, mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand dan merayu agar anak mereka dapat kembali dengan selamat.
Mereka turut menggesa kedutaan Malaysia di Bangkok memberikan bantuan.
Chong berkata, pihaknya turut menerima empat lagi laporan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, dengan beberapa daripadanya melibatkan tuntutan wang tebusan.
Beliau menggesa keluarga yang terjejas membuat laporan polis dengan berkata, pihak berkuasa lebih sesuai menangani kes itu.
Chong turut meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja palsu dan iklan dalam talian menjanjikan peluang pekerjaan yang menguntungkan.
Ahad lepas, beliau berkata, seorang remaja Malaysia dibebaskan oleh pihak yang menahannya berikutan tekanan daripada media.
Keluarga remaja lelaki berusia 15 tahun itu membayar wang tebusan RM10,000 untuk pembebasannya dan dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia di Thailand, dia dan seorang lagi remaja berjaya diselamatkan.
Ibu remaja itu memberitahu pemberita bahawa anaknya dilarikan oleh beberapa lelaki tempatan pada 23 Mac atas alasan untuk memberinya pekerjaan di Johor. Bagaimanapun, dia dibawa ke Myanmar melalui jalan haram untuk bekerja dengan sindiket jenayah.