Polis kenal pasti dokumen perlu berkait siasatan terhadap Tawfiq Ayman

Polis kenal pasti dokumen perlu berkait siasatan terhadap Tawfiq Ayman

Polis mendapatkan bantuan Pejabat Peguam Negara demi memastikan segala maklumat diperoleh berhubung siasatan diterima di mahkamah.

Polis berkata, siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi proses Bantuan Undang-Undang Bersama untuk mendapatkan dokumen berkaitan. 
PETALING JAYA:
Polis sudah mengenal pasti dokumen dan kenyataan dikehendaki untuk diperoleh dari Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan 1MDB membabitkan Tawfiq Ayman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kamarudin Din berkata, perkembangan siasatan berhubung suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz itu adalah susulan perbincangan dan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura bermula 29 hingga 31 Mac lalu.

“Hasil keputusan perbincangan, pasukan penyiasat mengenal pasti dokumen dan kenyataan untuk siasatan.

“Bagaimanapun bagi memastikan dokumen dan keterangan itu boleh diterima di mahkamah, ia perlu melalui proses ‘mutual legal assistance’ (MLA) yang akan dikendalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis sudah merujuk hasil siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Tawfiq didakwa menerima dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan ke akaun bank di Singapura.

Polis Singapura dilaporkan memaklumkan memgenai transaksi mencurigakan kepada BNM pada 2015 dan 2016 membabitkan syarikat dimiliki Tawfiq dan seorang anak lelakinya.

Terdahulu, kontroversi timbul berhubung siasatan terbabit selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata, polis tidak dapat melengkapkan siasatan disebabkan sempadan negara antara Singapura ditutup susulan penggantungan program laluan perjalanan lengkap vaksin.

Singapura ada mengemukakan cadangan kepada pasukan siasatan Malaysia supaya berkunjung ke negara itu antara 8 dan 9 Feb, dengan pihak Malaysia hanya memberi maklum balas pada 10 Mac.

Susulan itu, polis mengemukakan beberapa alasan penangguhan perjalanan ke Singapura termasuk pegawai siasatan dijangkiti Covid-19, selain kesulitan mendapat kerjasama daripada saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.