
Beliau berkata, pada 15 Mac lalu, siasatan ke atas Nicky bermula berkait pembabitannya dalam kes jenayah terancang serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Jelasnya, hasil siasatan mendapati sebanyak 68 serbuan dilakukan di sekitar Selangor bagi menahan Nicky dan ahli kumpulannya, pada 20 Mac tahun lalu, namun ahli perniagaan itu berjaya melarikan diri.
“Pada 9 Apr 2021, seramai 15 ahli kumpulan Nicky didakwa mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Petaling Jaya dan pada tarikh sama, Nicky turut didakwa di bawah kesalahan sama secara ‘in-absentia’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kamarudin berkata, pada 30 Sept 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Nicky bagi kes jenayah terancang/SOSMA.
Ia berikutan permohonan dari Pejabat Peguam Negara bagi menunggu siasatan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dilengkapkan.
Susulan itu, beliau berkata, peguam Nicky memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebaskan dan dilepaskan (DNA) pada 23 Feb lalu.
“Pada 8 Mac lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky.
“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Nicky melalui peguamnya menghantar sepucuk surat kepada pihak polis dan menyatakan kesediaannya untuk menyerah diri,” katanya.
Beliau berkata, pada 23 Mac lalu sebanyak 26 pertuduhan difailkan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke atas Nicky bagi kesalahan pengubahan wang haram.
“Susulan itu, waran tangkap diperoleh bagi memastikan Nicky tidak terlepas daripada sebarang pertuduhan dan pada 11 Apr (kelmarin), Nicky hadir untuk menyerah diri di Pejabat JSJK Bukit Aman dan seterusnya ditahan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nicky Liow Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, 34, menyerah diri, selepas setahun melarikan diri atas 26 pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai lebih RM36 juta, bermula enam tahun lalu.