Kes helikopter mendarat ambil nasi ganja ‘masih hidup’, polis jawab EAIC

Kes helikopter mendarat ambil nasi ganja ‘masih hidup’, polis jawab EAIC

Pada 1 April Pengerusi EAIC Mohd Sidek Hassan mengingatkan pihak berkuasa segera selesaikan kes mudah atau berdepan hakisan kredibiliti.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata tindakan sewajarnya termasuk tuduhan di mahkamah berhubung kes helikopter mengambil nasi ganja di Padang Ipoh, Julai lalu, tetap akan diambil. (Gambar Awani Perak)
PETALING JAYA:
Isu helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil 36 bungkus “nasi ganja”, pada Julai tahun lalu, seperti dibangkitkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak pernah ditutup.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata tindakan sewajarnya termasuk tuduhan di mahkamah akan tetap diambil terhadap pihak terlibat sebaik menerima kelulusan daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ketika ini kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan hanya menunggu keputusan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Apa sahaja siasatan dijalankan, kita ada bidang kuasa, dalam kes ini, polis telah selesaikan siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Peguam Negara untuk dapatkan kelulusan. Jadi kita tunggulah arahan selanjutnya nanti.

“Yang pasti kes ini tidak ditutup, masih hidup,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 1 April, FMT melaporkan Pengerusi EAIC Mohd Sidek Hassan, mengingatkan pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan “kes mudah” atau berdepan hakisan kredibiliti.

Sidek memberi contoh kes helikopter mendarat di Ipoh untuk mengambil nasi ganja pada 23 Julai 2021.

Dalam pada itu, Mior berkata, dalam kenyataan media sebelum ini telah dimaklumkan bahawa polis telah pun menyelesaikan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, satu arahan kemudiannya telah dikeluarkan untuk polis mengambil tindakan lagi berhubung beberapa isu berbangkit berkaitan perundangan.

“Siasatan perkara itu juga telah kita lengkapkan dan kembali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Jadi di pihak polis, kita telah pastikan semua siasatan dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan ambil tindakan kompaun kepada pihak terlibat atau menuduh di mahkamah. Saya akan umumkan selepas mendapat keputusan terkini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.