Setahun diburu, Nicky Liow akhirnya serah diri

Setahun diburu, Nicky Liow akhirnya serah diri

Nicky Liow menyerah diri kepada polis sambil ditemani peguamnya.

Nicky Liow dikehendaki polis atas dakwaan terlibat dalam jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.
PETALING JAYA:
Selepas setahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow akhirnya menyerah diri kepada polis.

Nicky menyerah diri kepada polis dengan ditemani peguamnya.

Lelaki berusia 34 tahun itu dikehendaki polis atas dakwaan terlibat dalam jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Pada Mac tahun lalu, polis menahan 68 individu dipercayai ahli kumpulan Liow. Pihak berkuasa turut merampas 16 kenderaan mewah termasuk Rolls Royce dan mata wang asing berjumlah lebih RM7 juta dalam 70 serbuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, Nicky ditahan pada jam 11 pagi tadi selepas menyerah diri secara sukarela.

Beliau berkata, Nicky akan dihadapkan ke mahkamah esok dan berhadapan 26 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).

“Pada 23 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial memfailkan pertuduhan ke Nicky mengikut seksyen sama di mahkamah Shah Alam serta memperolehi waran tangkap ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan.

April tahun lalu, polis Johor memburu Nicky kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.