Semak semula ‘ouster clause’ dalam Akta Pertubuhan, kata Muhyiddin

Semak semula ‘ouster clause’ dalam Akta Pertubuhan, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu memberi amaran, ia akan mengakibatkan ahli Parlimen tidak berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan mengamalkan rasuah.

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak bersetuju Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti dikehendaki mengosongkan kerusi serta-merta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Putrajaya menyemak semula “ouster clause” (klausa penyingkiran) dalam Akta Pertubuhan menjelang pelulusan rang undang-undang (RUU) antilompat parti.

Ketika membahaskan RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) menzahirkan kebimbangan bahawa pindaan berkaitan kebebasan berpersatuan dan undang-undang antilompat yang menyusulinya akan menyekat kebebasan Ahli Parlimen bersuara menentang pemimpin parti.

Mengenai definisi lompat parti, bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak bersetuju Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti dikehendaki mengosongkan kerusi mereka serta-merta, dengan memrujuk pelbagai sebab seseorang itu mungkin dipecat.

Dengan menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen boleh dipecat kerana bersuara menentang pemimpin parti, beliau berkata, pengecualian harus diberikan untuk keadaan sedemikian kerana ia tidak adil kepada mereka.

“Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ‘ouster clause’ dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Rayuan hanya boleh dibuat kepada majlis tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil?

“Saya fikir sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan kerana bimbang akan dipecat daripada parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.

“Ahli-ahli Parlimen yang mewakili kehendak rakyat akan dibungkam oleh ‘cabal’ yang mengawal parti politik. Kita mendahulukan kepentingan parti politik sebelum rakyat,” katanya.

Seksyen 18c Akta Pertubuhan menyebut bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh sesuatu parti tidak boleh dicabar atau dirayu di mahkamah.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, seksyen ini perlu dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan mendapat keadilan di mahkamah sebelum dikehendaki mengosongkan kerusi mereka.

“Saya juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang antilompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen.

“Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan Perlembagaan dibuat untuk membolehkan satu undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan Perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.