Ketua parti, menteri minta saya lompat parti, dakwa ahli Parlimen Batu

Ketua parti, menteri minta saya lompat parti, dakwa ahli Parlimen Batu

P Prabakaran mendakwa seorang ahli politik menawarkan jawatan dalam GLC pilihannya.

P Prabakaran dan Rusnah Aluai mendakwa di Dewan Rakyat, mereka diminta menukar sokongan daripada PH kepada parti lain.
KUALA LUMPUR:
P Prabakaran (PH-Batu) mendakwa ramai ahli politik kanan, termasuk ketua parti politik dan menteri mendekatinya untuk berpaling tadah daripada Pakatan Harapan (PH) ketika perintah kawalan pergerakan pada 2020.

Ahli Parlimen PKR itu memberitahu Dewan Rakyat, cubaan mereka untuk memujuknya menyertai blok kerajaan gagal kerana beliau mempunyai lebih banyak “kehormatan dan prinsip” berbanding 39 ahli Parlimen yang melompat parti sejak 2018.

“Ketika ‘lockdown’ (pada 2020), ramai menteri, timbalan menteri, ahli politik dan presiden parti mendekati saya untuk melompat ke sana (blok kerajaan).

“Mereka beranggapan, sebagai ahli Parlimen paling muda, saya tidak mempunyai prinsip atau hala tuju politik. Mereka ingat boleh mempengaruhi saya melompat ke blok kerajaan, tetapi mereka gagal.

“Ada seorang ahli politik beritahu saya: ‘Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mana yang anda mahu? Anda pilih, saya boleh berikan’.”

Ketika membahas rang undang-undang pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat hari ini, Prabakaran mendakwa beliau ditawarkan projek dan jawatan menteri untuk menukar sokongan.

Tetapi, tegasnya, beliau tidak pernah terfikir untuk mengejar jawatan atau wang kerana beliau setia kepada pengundinya.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan perdana menteri atas memorandum persefahaman ini yang memastikan tiada lagi ahli Parlimen melompat ke sana sini, dengan ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan sama dan layanan adil.”

Sementara itu, Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) turut mendakwa beliau dipelawa melompat parti pada 2020 melalui pesanan teks WhatsApp.

Katanya, beliau ditanya jika mahu melakukan “horse trading” atau pertukaran sokongan politik pada Jun 2020 dan beliau dengan naif menganggap individu yang menghantar mesej itu bertanya mengenai projek kerajaan.

“Saya keliru. Kami tidak berada dalam kerajaan lagi dan kami tidak diberikan sebarang peruntukan untuk mana-mana projek.

“Rupa-rupanya saya ialah ‘kuda’ yang mereka mahu dagangkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.