Anti-lompat parti: Negeri PH bentang enakmen sendiri selepas RUU lulus di Parlimen, kata Saifuddin

Anti-lompat parti: Negeri PH bentang enakmen sendiri selepas RUU lulus di Parlimen, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution berkata Pulau Pinang telah meluluskan enakmen anti-lompat partinya pada 2012 dan akan diikuti Selangor serta Negeri Sembilan.

Saifuddin Nasution menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana berpegang kepada prinsip dan isi kandungan MoU.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan enakmen anti-lompat parti sendiri sebaik Parlimen meluluskan rang undang-undang (RUU) itu, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Saifuddin (PH-Kulim Bandar Baharu) berkata, kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan enakmen anti-lompat parti pada 2012 dan ini akan diikuti Selangor dan Negeri Sembilan.

“Komitmen kami adalah untuk menggubal undang-undang ini di peringkat negeri selepas kelulusan diberikan di peringkat Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan RUU pindaan Perlembagaan bagi membuka laluan kepada undang-undang anti-lompat parti hari ini.

Saifuddin berkata, akhirnya ada kejelasan lebih lanjut mengenai bilakah RUU anti-lompat parti yang telah lama ditunggu-tunggu akan dibentangkan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempersetujui gesaan agar sidang khas Dewan Rakyat untuk perkara ini diadakan pada akhir Mei.

Menyifatkan isu itu sebagai “roller-coaster”, beliau menyatakan penghargaannya kepada Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana berpegang kepada prinsip dan isi kandungan memorandum persefahaman (MoU) Putrajaya dengan PH.

Beliau juga berkata, mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk RUU anti-lompat parti pada akhir Mei adalah munasabah kerana ia memberi masa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk mengkaji dan membincangkan undang-undang yang dicadangkan itu.

Tiada undian akan diadakan di Dewan Rakyat untuk RUU pindaan Perlembagaan itu hari ini, sebaliknya ia akan dirujuk kepada PSC.

Wan Junaidi sebelum ini berkata, PSC akan memutuskan butiran bagi pindaan Perlembagaan dan RUU anti-lompat parti tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.