Tak sempat berbuka puasa, kematian tahanan ke-14 dilaporkan di Pahang

Tak sempat berbuka puasa, kematian tahanan ke-14 dilaporkan di Pahang

Polis berkata, tahanan itu diberikan ubat sakit tibi petang semalam, tetapi dia didapati tidak sedarkan diri sejam kemudian.

Polis berkata, tahanan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kuantan, selepas tidak sedarkan diri ketika anggota bertugas mengedarkan makanan untuk berbuka puasa.
PETALING JAYA:
Seorang tahanan di Kuantan, Pahang meninggal dunia semalam, selepas tidak sedarkan diri ketika anggota bertugas mengedarkan makanan untuk berbuka puasa.

Ini adalah kematian dalam tahanan ke-14 tahun ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Azri Ahmad berkata, tahanan itu dihantar ke lokap berpusat Indera Mahkota, Kuantan pada 21 Mac lalu bagi menjalani hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 4.40 petang semalam, katanya, tahanan itu diberikan ubat sakit tibi, tetapi dia didapati tidak sedarkan diri sejam kemudian.

“Pada hari sama, dia disahkan meninggal dunia oleh Hospital Kuantan pada 6.35 petang,” katanya dalam kenyataan.

Azri berkata, tahanan itu dijadualkan menghadiri sebutan semula kesnya pada 14 April ini bagi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah JIPS Bukit Aman akan menyiasat kematian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.