
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan akan dilakukan daripada pelbagai aspek termasuk kelayakan jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem serta sekiranya berlaku kecuaian ketika melakukan aktiviti berkenaan.
“Ya, kita akan siasat daripada pelbagai segi termasuk sama ada berlakunya kecuaian dalam pengendalian latihan serta adakah sesi latihan itu mematuhi peraturan ditetapkan atau prosedur operasi standard yang ada.
Buat masa ini mangsa yang terselamat masih lagi trauma dan mereka memerlukan masa untuk pulih, sebaik sahaja keadaan mereka stabil kita akan rakam percakapan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, semalam.
Rabu lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.
Grodem, 35, ditemui selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lepas.
Adrian Peter Chesters, 46, yang merupakan warga British, dan Alexia Alexandra Molina, 18, seorang warga Perancis, pula ditemui selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1 pagi tadi.
Penyelam remaja warga Belanda Nathan Renze Chesters, 14, pula disahkan telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.