Pergaduhan pasangan atau tidak, polis mesti siasat, kata NGO

Pergaduhan pasangan atau tidak, polis mesti siasat, kata NGO

Wakil badan bukan kerajaan berkata keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam bentuk berbeza dan tiada kes harus ditolak berdasarkan andaian polis atau orang ramai.

Pertubuhan hak asasi wanita berkata Akta Keganasan Rumah Tangga harus merangkumi semua hubungan dan bukan hanya pasangan suami isteri.
PETALING JAYA:
Polis mesti menyiasat mana-mana kes yang disyaki keganasan rumah tangga tidak kira sama ada ia “pergaduhan pasangan” atau tidak, selagi ia melibatkan kecederaan fizikal dan memberi kesan emosi, kata sebuah kumpulan hak asasi wanita.

Abinaya Mohan dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam bentuk yang berbeza dan tiada kes harus ditolak berdasarkan andaian polis atau orang ramai.

Katanya, walaupun ia adalah pergaduhan antara pasangan, polis mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat sekiranya berlaku sebarang kecederaan.

Abinaya mengulas kejadian tular baru-baru ini apabila seorang wanita yang dipercayai mangsa keganasan rumah tangga, mendakwa polis menolak kesnya kerana dianggap sebagai “pergaduhan pasangan” di mana pelakunya “tidak berniat untuk memukul secara fizikal”.

Katanya, dia dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan polis kemudiannya memberitahu mereka tidak akan menjalankan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, pada Rabu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan dibuka selepas satu laporan dibuat pada 27 Mac.

Katanya, keterangan saksi telah dirakam dan laporan perubatan juga diperoleh untuk melengkapkan siasatan. Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu.

Abinaya berkata undang-undang semasa perlu dipinda untuk membolehkan mangsa penderaan melaporkan dan mendapatkan keadilan, serta tidak diremehkan oleh sesiapa.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga mesti diperluaskan untuk merangkumi semua hubungan kerana pada masa ini ia hanya melindungi pasangan, bekas pasangan, anak dan ahli keluarga.

“Ini bermakna mangsa yang terselamat dalam kes keganasan dan tidak berkahwin juga dilindungi oleh undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan dan Komunikasi All Women’s Action Society (AWAM) Jernell Tan berkata mangsa penderaan rumah tangga hanya boleh benar-benar dilindungi dengan kepolisan yang “responsif jantina”.

Katanya, penguatkuasa undang-undang mesti sedar dan melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang dinyatakan dalam akta itu, termasuk menyediakan atau mengatur pengangkutan untuk mangsa mendapatkan rawatan perubatan jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.