Tunjuk bagaimana Sabah Maju Jaya beri manfaat kepada rakyat, kerajaan diberitahu

Tunjuk bagaimana Sabah Maju Jaya beri manfaat kepada rakyat, kerajaan diberitahu

Ahli akademik berkata pelan pembangunan Sabah Maju Jaya perlu diperjelas kerana ramai tidak faham bagaimana rakyat Sabah mendapat manfaat daripadanya.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor merasmikan hari terbuka Sabah Maju Jaya di Kota Kinabalu pada 12 Jan 2021.
KOTA KINABALU:
Seorang ahli akademik menggesa kerajaan negeri menjelaskan bagaimana pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) boleh memberi manfaat kepada rakyat biasa.

“Semua orang nampaknya tidak tahu apa yang telah dicapai setakat ini mengenai SMJ, yang baru sahaja menyambut ulang tahun pertamanya,” kata Mohammed Raheezal Shah Abdul Karim dari UiTM Sabah.

Katanya, pada satu dialog dianjurkan oleh Pemerkasaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Seeds) baru-baru ini, kebanyakan peserta tidak dapat memahami bagaimana rakyat Sabah mendapat manfaat daripada SMJ.

Peserta dialog itu termasuk wakil kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perniagaan.

“Nampaknya tiada siapa tahu petunjuk kejayaan yang ditetapkan kerajaan dan agak sukar untuk penganalisis seperti saya untuk memberi pandangan mengenai kejayaan SMJ selepas setahun,” kata Raheezal.

“Saya pasti banyak lagi kerja masih dijalankan memandangkan ianya baru setahun, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kerajaan tidak memberitahu orang ramai mengenai di mana kita kedudukan kita dengan inisiatif ini. Sebagai contoh, adakah ia sudah 10% atau 20% siap?”

Pelan SMJ mewakili salah satu ikrar yang dibuat oleh gabungan pemerintah Sabah ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) 2020.

Ia bertujuan membangunkan modal insan dan menambah baik infrastruktur dan kelestarian alam sekitar. Ia memfokuskan terhadap pertumbuhan ekonomi sektor pertanian, industri dan pelancongan.

Dalam ucapan merasmikan ulang tahun SMJ pada 29 Mac, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata terdapat lebih 500 inisiatif di bawah pelan itu.

Katanya, kerajaan negeri telah mula melaksanakan projek pembangunan ini namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut.

Raheezal berkata kerajaan mempunyai kecenderungan untuk menggunakan pelaburan langsung dari luar negara atau Semenanjung sebagai kayu pengukur untuk menunjukkan kejayaan SMJ, tetapi ini bukanlah petunjuk yang baik.

“Apa yang orang ingin tahu ialah bagaimana ia memberikan manfaat secara peribadi daripada SMJ,” katanya.

“Apa yang kerajaan perlu buat sekarang ialah turun ke peringkat mikro dan cuba memberitahu rakyat bahawa pelan ini berjaya dan menunjukkan kemajuan berdasarkan petunjuk tertentu. Ia perlu menjelaskan mengenai apa yang berjaya dicapai setakat ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.