
Beliau menyifatkan pelbagai desas-desus yang timbul itu sebagai laporan nakal pihak tertentu.
Katanya, Jemaah Menteri sebenarnya sudah mencapai konsensus sepenuhnya berhubung cara proses melakukan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.
“Terdapat beberapa alternatif dan Jemaah Menteri memilih dua alternatif, iaitu pinda Perlembagaan dahulu. Malah, ada juga cadang buat sekali gus, selain ada yang cadang suruh terus bentangkan RUU Anti Lompat Parti.
“Bagaimanapun, kita dinasihatkan jika hendak bentang sesuatu sebelum kita pinda Perlembagaan, undang-undang itu menjadi tidak sah sebab undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Annuar berkata, selepas Perlembagaan dipinda untuk membolehkan akta itu dibentangkan, maka langkah kedua ialah membentangkan RUU terbabit.
“Ini adalah soal undang-undang, jadi pada mereka yang mengatakan kita bertelagah, perbezaan pendapat dalam perbincangan itu adalah lazim dan tidak semua orang ada pendapat sama.
“Apa yang penting, Kabinet sudah buat suatu keputusan secara konsensus berdasarkan nasihat dan pandangan AG (peguam negara).”
Beliau berkata, penasihat peguam negara sudah memberi nasihat dan peguam negara sudah dipanggil untuk memberi taklimat kepada Jemaah Menteri.
“Selepas mendapat taklimat itu, Jemaah Menteri sudah bincang dan membuat keputusan secara bersama sebulat suara, iaitu yang pertama RUU Anti Lompat Parti wajib diteruskan dan kerajaan komited serta tidak akan membuat perubahan, kecuali cara untuk melaksanakannya.
“Langkah pertama pinda Perlembagaan sebab pinda Perlembagaan perlukan 2/3, jadi selesaikan dulu pinda Perlembagaan. Setelah Perlembagaan dipinda, barulah menghalalkan kita buat Akta Anti Lompat Parti yang tidak lagi bercanggah dengan Perlembagaan.
“Itu hanya kaedah dan tidak timbul kata (dakwaan) ada perbezaan pendapat,” katanya.