Penyelam remaja meninggal dunia, bapa beritahu pihak berkuasa

Penyelam remaja meninggal dunia, bapa beritahu pihak berkuasa

Pihak berkuasa Indonesia telah dimaklumkan untuk membantu mencari remaja itu yang dipercayai meninggal dunia dan hanyut ke perairan republik itu.

Bapa mangsa berkata, Nathen Renze Chesters, 14, meninggal dunia kerana tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
MERSING:
Penyelam remaja warga Belanda, Nathen Renze Chesters, 14, yang hilang di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu lalu disahkan meninggal dunia kerana tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh bapa mangsa, Adrian Peter Chesters.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari remaja terbabit yang dipercayai meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, APMM menamatkan Op Carilamat pada 1.30 tengah hari tadi susulan penemuan tiga daripada empat penyelam yang hilang.

Rabu lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini.

Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemui selamat dalam keadaan terapung yang lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lalu.

Adrian Peters, 46, yang merupakan warga British, dan Alexia Alexandra Molina, 18, warga Perancis pula ditemui selamat oleh nelayan tempatan kira-kira 1 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.