Pakar undang-undang gusar skop pindaan Perlembagaan

Pakar undang-undang gusar skop pindaan Perlembagaan

Philip Koh berkata, cadangan pindaan Perlembagaan nampaknya memberi kelulusan kepada undang-undang persekutuan untuk menolak keputusan Mahkamah Persekutuan.

Peguam berpandangan dengan pindaan Perlembagaan yang dicadangkan, undang-undang boleh digubal dengan majoriti mudah di Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar undang-undang mempersoalkan cadangan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan.

Philip Koh, profesor adjung di Universiti Malaya berkata, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nampaknya memberi kelulusan kepada undang-undang persekutuan untuk menolak keputusan Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, kebimbangan utamanya ialah jika pindaan sedemikian boleh dibuat berdasarkan sifat dan skop undang-undang persekutuan yang dicadangkan.

Tonton video di sini.

“Sebaik sahaja cadangan pindaan itu diluluskan menerusi majoriti 2/3, undang-undang boleh dibuat dengan majoriti mudah di Parlimen, yang boleh bermaksud kawalan parti politik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ini mungkin boleh dilakukan menerusi pindaan Akta Pertubuhan yang memberi kuasa kepada pendaftar pertubuhan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Kaitan mana-mana undang-undang mengenai hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, contohnya akibat melompat parti, dengan Perkara 48 (berhubung hilang kelayakan Ahli Parlimen) juga penting. Ini antara beberapa persoalan yang tidak diselesaikan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dilaporkan berkata, rang undang-undang pindaan Perlembagaan “terlalu luas” dan ia “perlu diperketatkan dan dikecilkan kepada konteks anti lompat parti sahaja”.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin semua rakyat mempunyai kebebasan untuk berpersatuan. Bagaimanapun, ia juga memberi kuasa kepada Parlimen untuk menyekat hak itu atas alasan keselamatan negara.

Cadangan pindaan Perkara 10 mengandungi klausa baharu yang memperuntukkan kuasa kepada undang-undang persekutuan digubal untuk menyekat keahlian Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam parti politik.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan berkata, Perlembagaan perlu dipinda bagi memberi kuasa kepada pembentangan RUU Anti Lompat Parti, yang didesak parti pembangkang.

Dalam mesej teks ringkas kepada FMT hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menyuarakan kekecewaannya terhadap draf cadangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sangat kecewa kerana ia bukan apa yang dibincangkan. Ini melangkaui anti lompat (parti) sama sekali.”

Pindaan Perlembagaan itu dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini. RUU Anti Lompat Parti pada mulanya dijadual dibentangkan pada tarikh sama, tetapi ditangguhkan susulan perbezaan pendapat dalam Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.