Nurul Izzah persoal ‘niat baik’ kerajaan terhadap RUU Anti Lompat Parti

Nurul Izzah persoal ‘niat baik’ kerajaan terhadap RUU Anti Lompat Parti

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, cadangan kemasukan fasal pembolehan dalam Perlembagaan seperti memberi kuasa kepada kerajaan melucutkan kerusi Ahli Parlimen.

Nurul Izzah Anwar bimbang pindaan Perlembagaan itu akan membuka ruang kepada penyalahgunaan.
PETALING JAYA:
Kemasukan fasal pembolehan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dikaji semula, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Beliau bimbang langkah itu akan membuka ruang kepada penyalahgunaan.

Beliau ragu-ragu dengan niat baik kerajaan dalam membentangkan RUU itu dan berkata, sekiranya bergantung kepada kepercayaan semata-mata, maka seseorang boleh menjangkakan ia akan berubah pada masa depan.

“Ia (undang-undang) memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan selama-lamanya untuk melucutkan kerusi Ahli Parlimen. Kita perlu menyemak semula strategi perundangan ini,” katanya wakil rakyat PKR itu di Twitter.

Nurul Izzah mengulas komen peguam, New Sin Yew bahawa pindaan Perlembagaan yang akan berlaku adalah “berbahaya”.

New berkata, klausa baharu Perlembagaan tidak menghalang orang daripada melompat parti, sebaliknya ia memberi kawalan penuh kepada kerajaan ke atas parti politik lain.

Katanya, kerajaan sepatutnya meminda Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan membabitkan keahlian Ahli Parlimen juga.

Beliau berkata, meminda peruntukan berhubung kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan tanpa meminda Perkara 48 akan menyebabkan undang-undang anti lompat parti tidak berperlembagaan.

“Pada dasarnya, cadangan pindaan itu akan menyebabkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri hilang kebebasan berpersatuan apabila membabitkan keahlian dalam parti politik. Ini sangat berbahaya kerana kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa mengawal parti politik.”

Katanya, kemasukan klausa dalam Perlembagaan hanyalah alasan.

Parlimen akan bersidang Isnin ini untuk membahas fasal pembolehan dimasukkan dalam Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.