
Dalam temu bual dengan FMT, Lim berkata: “Kami perlu tunjukkan kepada pengundi bahawa kami berjuang untuk mereka, bukannya golongan yang hanya turun padang lima tahun sekali untuk mengeksploit undi mereka.”
Parti berteraskan belia itu yang ditubuhkan oleh bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddip Syed Abdul Rahman, didaftarkan secara rasmi pada Disember lepas dan membuat penampilan sulung pada pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac.
Tonton video di sini.
Lim bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tetapi tewas kepada penyandang daripada Barisan Nasional (BN), iaitu Haslinda Salleh.
Muda turut tewas di lima kerusi lain, iaitu Larkin, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, dan Bukit Permai, tetapi menang di Puteri Wangsa.
Ditanya kenapa pengundi muda kelihatan tidak meningkatkan peluang Muda di Johor, Lim menolak anggapan bahawa golongan itu tidak memilih parti tersebut.
“Di kawasan bandar dan separuh bandar seperti Puteri Wangsa, pengundi muda menyokong Muda tetapi di kawasan luar bandar, Muda perlu bersaing rapat dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan undi belia.
“Jika anda lihat kepada gambaran secara menyeluruh, berlaku persaingan yang sengit antara Muda, BN dan PN,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun katanya, data menunjukkan peratusan pengundi berumur 18-21 tahun keluar mengundi yang rendah dan ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk penutupan sempadan Johor-Singapura dan sikap apati susulan insiden Langkah Sheraton.

“Sebagai contoh, hampir setiap isi rumah pengundi Cina yang saya lawati di Tenang mempunyai anak lelaki atau perempuan yang bekerja di Singapura dan tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi, walaupun mereka balik mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Selain itu, selepas berlakunya Langkah Sheraton, kebanyakan orang berasa sia-sia mengundi kerana ahli politik boleh dengan mudah melompat parti,” katanya.
Berdasarkan pertemuannya dengan rakyat Johor katanya, ramai belia tidak tahu mengenai pendaftaran pemilih secara automatik menerusi inisiatif Undi18.
Inisiatif Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dilaksanakan mulai 15 Dis menyaksikan kemunculan 173,177 pengundi baharu yang terdiri daripada kumpulan umur 18-20 dalam PRN Johor.
Pembaharuan itu, yang menurunkan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 dan membenarkan pendaftaran pemilih secara automatik, telah menambah bilangan pengundi di Johor sebanyak 1/3.
Lim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan lebih banyak usaha bagi meningkatkan kesedaran dan menyediakan akses yang lebih baik kepada pengundi seperti melanjutkan tempoh pendaftaran undi pos hingga dua atau tiga minggu dan membenarkan pengundian dilakukan di kedutaan Malaysia bagi mereka yang berada di luar negara.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk mendidik orang muda tentang kepentingan mengundi dan ini boleh diajar di peringkat sekolah menengah.
“Kami mahu pengundi maklum sekurang-kurangnya mengenai dasar atau manifesto yang ditawarkan oleh setiap parti. Kami tidak mahu pengundi diberi maklumat yang salah dan tidak dapat bertanya,” kata Lim.