
Tanpa menamakan sesiapa, Rodziah yang akan bertanding ketua wanita PKR berkata, ingatan itu diberikan bagi mengelakkan berlakunya pertembungan yang “tidak perlu”.
“Walaupun kita meraikan demokrasi namun mari kita elakkan pertembungan yang ‘unnecessary’ (tidak perlu), maknanya kita harap, fokus kita untuk mantapkan parti dan tidak fokus kepada sentimen yang terkeluar daripada landasan perjuangan kita.
“’Unnecessary’ itu kadang-kadang orang bertanding sebab rasa ada ruang tanpa ada wawasan. Saya harap kita bawa satu gagasan yang lebih jelas ke mana kita ingin bawa parti ini dan kena ingat parti ini tonggak membawa perubahan besar pada negara,” katanya kepada FMT.
Rodziah berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Siddiq yang akan mencabarnya bagi jawatan ketua wanita.
Mengulas lanjut, Adun Selangor itu terbuka dengan persaingan dan menyerahkan kepada akar umbi untuk membuat pilihan.
“Bagi saya, saya jelas dengan komitmen PKR, saya rasa sudah sampai masanya saya bersama presiden untuk kuatkan sayap wanita. Sudah 23 tahun saya bersama wanita dari bawah dan memimpin beberapa pilihan raya.
“Saya yakin usaha ini boleh digembeleng semua pihak. Jadi persoalannya, jangan kira batang tubuh yang siapa lawan siapa, tapi ayuh kita fikirkan dalam keadaan terbaik,” katanya.
Pemilihan PKR kali ini menyaksikan persaingan dua pasukan diketuai calon timbalan presiden, iaitu Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.
Difahamkan, Rodziah akan bersama pasukan Rafizi manakala Fadhlina pula menyertai Saifuddin.