Definisi lebih jelas frasa ‘lompat’ perlu dipersetujui, kata PN

Definisi lebih jelas frasa ‘lompat’ perlu dipersetujui, kata PN

Gabungan itu menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti.

Hamzah Zainudin berkata, Perikatan Nasional secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa “lompat” dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan kerajaan bagi memastikan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti mencapai matlamatnya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin turut menegaskan gabungan itu menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat disebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti.

“Perikatan Nasional sudah pun mengadakan sesi libat urus berhubung cadangan pindaan tersebut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar 4 April lalu.

Tonton video di sini.

“Dalam sesi libat urus tersebut, Perikatan Nasional secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri turut memaklumkan, Jemaah Menteri 6 April lali bersetuju bahawa Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada ahli-ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan anti lompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima semua pihak.

“Perikatan Nasional mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022.

“Keputusan itu adalah satu keputusan kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengesahkan RUU itu, yang dijadual dibentangkan pada 11 April ini, ditangguhkan sekali lagi kerana Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangannya.

Dilaporkan kerajaan mahu menyelesaikan beberapa perkara penting, termasuk definisi “lompat parti” dan meminda Perlembagaan sebelum membentangkan RUU itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.