Pengembara tak perlu buat ujian RTK-Ag di lapangan terbang, kata MAHB

Pengembara tak perlu buat ujian RTK-Ag di lapangan terbang, kata MAHB

Pengembara antarabangsa hanya perlu melakukan ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia di mana-mana kemudahan kesihatan swasta.

Tiada keperluan untuk pengembara melakukan ujian RTK-Ag di lapangan terbang seperti didakwa dalam beberapa laporan media. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan berkata, pengembara antarabangsa hanya perlu melakukan ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia di mana-mana kemudahan kesihatan swasta termasuk klinik dan hospital pilihan mereka.

MAHB berkata, terdapat juga dakwaan wujud monopoli oleh pengendali kemudahan kesihatan swasta di lapangan terbang, bagaimanapun ia tidak berasas kerana tidak wajib melakukan ujian di lapangan terbang semasa ketibaan.

“Kemudahan itu disediakan untuk penumpang yang ingin mendapatkan kemudahan melakukan ujian dengan segera di lapangan terbang semasa ketibaan mereka,” menurut kenyataan.

MAHB memaklumkan, terdapat empat pengendali kemudahan kesihatan swasta berbeza yang menyediakan perkhidmatan di empat lapangan terbang berbeza.

Ia termasuk BP Clinical Lab Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Edgenta UEMS Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Manakala itu MYEG Services Sdn Bhd merupakan pengendali kemudahan itu untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

MAHB menjawab laporan media yang mendakwa pengembara terpaksa membayar harga tinggi untuk ujian RTK-Ag semasa ketibaan.

Beberapa jenis ujian Covid-19 tersedia semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, dengan ujian hidung RTK-Ag berharga RM100 untuk rakyat Malaysia dan RM160 untuk warga asing.

Ujian itu biasanya berharga antara RM60 hingga RM70 jika dijalankan di klinik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.