Pejuang persoal keperluan kelulusan Sirim untuk pelitup muka

Pejuang persoal keperluan kelulusan Sirim untuk pelitup muka

Peraturan itu tidak relevan dilaksanakan memandangkan negara luar seperti United Kingdom dan beberapa negara di Eropah tidak lagi menekankan penggunaan pelitup muka sesuai dengan transisi endemik.

Ketua Biro Kepenggunaan Pejuang, Afiqah Mohammad mempersoal langkah kerajaan mensyaratkan pelitup muka memerlukan kelulusan Sirim ketika negara sudah memasuki fasa endemik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pejuang mempersoal langkah kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan keperluan pelitup muka bukan perubatan mendapat kelulusan Sirim berkuat kuasa Januari 2023.

Ketua Biro Kepenggunaannya, Afiqah Mohammad berkata, peraturan itu tidak relevan ketika ini memandangkan negara luar seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah tidak lagi menekankan penggunaan pelitup muka sesuai dengan peralihan kepada fasa endemik.

“Kami faham KPDNHEP tidak akan mendenda individu yang memakai pelitup muka bukan perubatan tanpa pensijilan Sirim dan tindakan hanya akan diambil ke atas pengeluar dan pengimport yang gagal mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

“Tetapi yang menjadi pertikaian apakah keperluan peraturan ini ketika negara telah memasuki ambang transisi endemik?,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keperluan peraturan itu dilihat sudah tidak relevan ketika ini kerana beberapa negara luar seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah sudah tidak lagi menekankan penggunaan pelitup muka sesuai dengan peralihan ke fasa endemik.

Jelasnya lagi, tindakan kerajaan itu hanya akan menyebabkan harga pelitup muka meningkat sehingga tiga kali ganda.

“Apakah kerajaan tidak cakna dengan kos sara hidup yang amat tinggi kini dan rakyat perlu disusahkan lagi dengan harga pelitup muka disahkan Sirim yang dua, tiga kali ganda harganya.

“Apakah ada pihak yang akan mengaut keuntungan hasil daripada peraturan baharu ini? Berdasarkan data apakah peraturan ini dibuat?,”soalnya,

KPDNHEP sebelum ini mengumumkan keperluan pelitup muka bukan perubatan mendapat kelulusan Sirim hanya akan dikuatkuasakan mulai Januari 2023.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi turut menggesa industri, termasuk pengeluar dan pengimport tidak menaikkan harga pelitup muka bukan perubatan sewenang-wenangnya menjelang penguatkuasaan piawaian baharu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.