
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Faiz Na’aman berkata, prestasi parti itu adalah lebih baik berbanding kebanyakan pesaingnya, merujuk kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Beliau berkata, Bersatu menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Pejuang, Muda, Warisan dan Pakatan Harapan (PH), namun mengakui partinya tidak mengatasi DAP.
“PAS masih teguh dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kami mempunyai hubungan rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu dan PN suram, terutamanya berikutan kegagalan percubaannya untuk menjalin kerjasama dengan Pejuang dan PH.
Azmi berpendapat, individu lain harus mengambil alih kepimpinan Bersatu daripada Muhyiddin Yassin.
Namun menurut Faiz, parti itu yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin dan tiada perbincangan diadakan untuk menggantikannya sebagai presiden parti.
BN memenangi 40 kerusi pada PRN Johor, diikuti DAP dengan 10 kerusi dan PN dengan tiga kerusi. PKR, Amanah dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN memperoleh 43.11% daripada undi popular, manakala PN 24.04%.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal berkata, usaha partinya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain bukanlah tindakan terdesak, sebaliknya merupakan strategi bagi menjamin kemenangan.
“Selain berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa, politik adalah mengenai memikirkan kaedah terbaik untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, Bersatu menerima permintaan daripada parti-parti lain untuk membincangkan hala tuju pada PRU15.
“Mereka meminta bertemu dengan Muhyiddin selepas melihat dan mengalami prestasi buruk pada pilihan raya baru-baru ini. Mungkin mereka sedar bahawa pertembungan banyak penjuru akan membolehkan golongan kleptokrat kembali berkuasa dan mereka mahu menghalangnya.”
Beliau berkata, ini bukan masanya untuk menggantikan Muhyiddin.
“Kita ada ramai pemimpin berkebolehan yang bersedia untuk menggantikan Muhyiddin apabila tiba masanya, tetapi sekarang ini kita fokus kepada usaha menyatukan parti untuk PRU15.”
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, parti itu telah memberikan kepada biro politiknya yang diketuai Muhyiddin mandat penuh untuk membincangkan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU15.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh MPT selepas PRN Johor.