Data DNA bantu kesan suspek kes rogol 12 tahun lalu, kata Bukit Aman

Data DNA bantu kesan suspek kes rogol 12 tahun lalu, kata Bukit Aman

Abd Jalil Hassan berkata suspek itu ditahan di sebuah ladang ternakan kambing dan direman sehingga 13 Apr.

Siasatan saintifik menggunakan data DNA berjaya mengenalpasti identiti suspek walaupun selepas 12 tahun kes berlaku, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Data DNA berjaya mengenal pasti suspek dipercayai merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, dalam kejadian yang berlaku di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, 12 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di ladang ternakan kambing, di Balik Pulau, dalam operasi dilaksanakan pada 3.30 petang, semalam.

“Siasatan saintifik menggunakan data DNA berjaya mengenalpasti identiti suspek. Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta merta dan suspek berjaya ditangkap.

“Suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya selama enam hari sehingga 13 Apr bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Abd Jalil berkata, polis tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehingga suspek dikenal pasti.

“Polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pejabat pendakwaraya untuk arahan pertuduhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.