Wan Saiful nafi Bersatu tolak RUU Anti Lompat Parti

Wan Saiful nafi Bersatu tolak RUU Anti Lompat Parti

Ketua penerangan Bersatu berkata parti itu sentiasa komited memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik.

RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan kemudian, bukan pada 11 April seperti dijadualkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan laporan Utusan Malaysia bahawa parti itu menolak Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Dalam kenyataan beliau berkata, Bersatu sentiasa komited memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik dengan menghantar wakil ke sesi konsultasi mengenai Akta Anti Lompat Parti dan Akta Mengehadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.

“Laporan Utusan Malaysia ini langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) pada 5 April lalu.

“Dalam setiap sesi, kami menyuarakan pandangan secara konstruktif untuk memastikan kerajaan dapat menghasilkan draf yang terbaik untuk negara,” katanya.

Malah Wan Saiful berkata, ahli MPT, Mas Ermieyati Samsudin adalah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), yang memainkan peranan penting dalam proses penyediaan draf akta berkenaan.

Katanya, tidak pernah ada penolakan kolektif seperti didakwa.

“Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik dan apa niat di sebalik ulasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pandangan rasmi parti akan dinyatakan apabila pihaknya mendapat salinan draf Akta Anti Lompat Parti sebenar.

Dalam laporan hari ini, akhbar itu mendakwa Bersatu secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan bagi mana-mana ahli Parlimen yang dipecat kerana melompat parti sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Perkara itu antara tiga kriteria lompat parti yang terkandung dalam RUU Anti Lompat Parti yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat, Isnin ini, namun ditangguhkan ke satu tempoh bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk melanjutkan kajian mengenai definisi “lompat parti”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.