
Ini berikutan kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mempersoalkan bagaimana kadar faedah skim itu, iaitu GOpinjam, boleh mencecah setinggi 36% setahun.
“TNG ingin menjelaskan bahawa GOpinjam dan produk asasnya (e-Zi Tunai oleh CIMB Bank Bhd) dikawal selia sepenuhnya dengan tatakelakuan yang betul,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
“Semua pemohon juga akan tertakluk kepada semakan biro kredit untuk memastikan pinjaman hanya diberikan kepada mereka mampu membayar balik.”
Syarikat itu berkata, skim itu menyasarkan segmen pasaran yang lazimnya tidak mendapat perkhidmatan secukupnya, iaitu peminjam individu yang memerlukan jumlah kredit lebih rendah untuk tempoh lebih singkat.
Semua terma dan syarat untuk pinjaman akan dinyatakan terdahulu dengan jelas kepada pemohon, tegasnya, selain menambah bahawa ia adalah “biasa bagi amalan perkhidmatan kewangan yang baik”.
“Kami juga memastikan pelanggan berulang dengan sejarah pembayaran balik yang baik akan menikmati kadar faedah lebih rendah pada masa akan datang,” katanya.
TNG melancarkan ciri GOpinjam di platform e-dompetnya minggu lepas. Dibangunkan bersama CIMB Bank Bhd, ia menawarkan pinjaman peribadi daripada serendah RM100 hingga setinggi RM10,000.
Menurut TNG, bayaran balik boleh dibuat dalam tempoh antara satu minggu hingga satu tahun tanpa yuran tersembunyi atau caj penyelesaian awal.
Maklumat di laman sesawangnya menyatakan bahawa kadar faedah yang ditawarkan adalah antara 8% hingga 36% setahun, bergantung pada jumlah dan tempoh pinjaman yang diluluskan oleh bank.
Semalam, Najib meminta penjelasan Kementerian Kewangan mengenai kadar faedah skim pinjaman mikro itu, dengan berkata, ia “terlampau membebankan” pengguna.