RUU Anti Lompat Parti sukar sebab menteri ramai ‘katak’, sindir Shahrir

RUU Anti Lompat Parti sukar sebab menteri ramai ‘katak’, sindir Shahrir

Veteran Umno berkata 39 ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat ketika ini terdiri daripada mereka yang telah lompat parti.

Shahrir Samad berkata, RUU Anti Lompat Parti sukar dibentang kerana ramai menteri terdiri daripada mereka yang melompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sukar untuk membentang dan meluluskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti berikutan Jemaah Menteri juga terdiri daripada “katak politik”, sindir veteran Umno Shahrir Samad.

Shahrir berkata, 39 ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat ketika ini terdiri daripada mereka yang melompat parti.

“Kerana apa mereka lompat; sama ada mereka tidak didakwa ataupun mereka dapat jawatan yang lebih baik dari semasa mereka berada dalam parti asal mereka,” katanya di Facebook.

Bekas menteri Umno itu turut memberi contoh Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli Mustapha Mohamed sebagai pemimpin politik yang tidak didakwa meskipun menerima dana daripada bekas perdana menteri Najib Razak, turut melompat parti.

“Hamzah Zainudin dan Dr Latif Ahmad dapat jadi menteri kanan atau menteri kerana mereka lompat masuk Bersatu. Hamzah pegang jawatan menteri yang kanan.

“Dr Latif sudah terlalu lama berjawatan sebagai timbalan menteri dan sebelum PRU14 pun, telah menjadi Ahli Parlimen biasa. Selepas lompat parti, baru jadi menteri penuh,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan RUU itu ditangguhkan dan Jemaah Menteri tidak bersetuju membentangkannya pada sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April.

FMT sebelum ini melaporkan, kerajaan mahu menyelesaikan beberapa perkara penting seperti definisi lompat parti dan meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum membentangkan RUU itu.

Sementara itu, melalui hantaran berasingan Shahrir berkata, menteri Bersatu, iaitu Hamzah, Mustapha, Latif dan Mas Ermieyati tidak bersetuju dengan tafsiran “lompat parti”.

“Iyalah, semua pun katak politik, mana nak setuju dengan undang-undang mengharamkan ‘katak politik’,” katanya.

Beliau turut menyindir, “inilah nasib kerajaan memorandum persefahaman (MOU)”, yang merujuk kepada perjanjian persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Nak laksanakan item (perkara) penting bawah MoU pun susah. Tapi jawatan menteri nak pegang sampai habis tempoh Parlimen ke-14,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.