
Dalam kenyataan, Majlis Pimpinan PH Perak berkata, Saarani bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat negeri itu apakah tanah berkenaan diperuntukkan untuk projek lapangan terbang baharu dan semasa pentadbiran menteri besar manakah tanah itu diambil oleh PKNP serta zaman pemerintahan siapa jualan itu disempurnakan.
“Menteri besar hari ini selaku pengerusi PKNP bertanggungjawab penuh menjelaskan ketelusan transaksi penjualan tersebut jika benar berlaku penjualan,” kata PH Perak.
Mereka turut menuntut menteri besar mendedahkan minit mesyuarat keputusan hasrat menjual, perjanjian jual-beli dan syarat serta nilai jualan dan pihak konsultan yang dilantik untuk rundingan jualan.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Interim PKR Perak Lee Boon Chye.
Dalam pada itu, susulan dakwaan bahawa tanah itu dijual semasa pentadbiran PH pada 2018 hingga 2020 ketika Ahmad Faizal Azumu menjadi menteri besar, laporan polis dibuat oleh Pemuda PH pada 4 April lalu bagi memastikan siasatan terhadap penjualan tanah itu dilakukan segera.
Menyusul laporan polis itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manjoi Asmuni Awi yang juga bekas exco kerajaan negeri membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes berkenaan.
“Kami menuntut pihak berwajib, polis dan SPRM mengambil tindakan pantas memulakan siasatan bebas dan berkecuali terhadap aduan yang dibuat oleh PH,” katanya.
Isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini oleh ADUN Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Beliau mendedahkan, tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri, manakala Saarani pula menyatakan kerajaan Perak akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu jika terdapat laporan dibuat.