Kalah PRU15 boleh jadi tanda kehancuran PH, kata penganalisis

Kalah PRU15 boleh jadi tanda kehancuran PH, kata penganalisis

Pengundi mungkin akan berputus asa terhadap gabungan pembangkang dalam bentuk sedia ada jika ia kalah sekali lagi selepas tewas dalam PRN, kata penganalisis.

Untuk muncul sebagai pemenang pada PRU akan datang, PH mesti memenangi undi Melayu luar bandar, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang boleh menandakan kehancurannya, seorang penganalisis memberi amaran.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, beliau percaya pengundi akan berputus asa terhadap gabungan pembangkang dalam bentuk sedia ada jika ia kalah sekali lagi selepas tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

“PRU15 adalah benar-benar satu permainan ‘survival’ untuk PH, bukannya batu loncatan,” katanya ketika mengulas gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli agar gabungan itu bersikap realistik tentang peluangnya.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Rafizi juga berkata, adalah lebih baik bagi PKR dan PH untuk berpuas hati kekal sebagai pembangkang “yang bermaruah” berbanding menghebohkan keyakinan mereka untuk menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

James Chin.

Chin bersetuju bahawa PH perlu realistik namun berkata, tiada gunanya bertanding jika ia tidak merancang untuk menang.

“Tiada parti politik bertanding untuk kalah dalam pilihan raya,” katanya.

Untuk PH muncul sebagai pemenang pada PRU akan datang, ia mesti memenangi undi Melayu luar bandar, kata Chin selain menambah bahawa ia adalah salah satu faktor yang membolehkannya menguasai Putrajaya pada PRU lepas.

Pada PRU14, Bersatu yang ketika itu bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan menganggotai PH memenangi satu pertiga daripada kerusi Melayu luar bandar.

Jika PH tidak dapat mengulangi kejayaan ini pada PRU15, ia “tiada peluang untuk menang” kerana kawasan Melayu luar bandar membentuk hampir 100 kerusi di Dewan Rakyat, kata Chin.

Jeniri Amir.

Seorang lagi penganalisis, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, Rafizi cuba bersikap pragmatik dan melihat prestasi PH dalam tiga PRN, perubahan dalam landskap politik negara dan sentimen rakyat.

Katanya, adalah penting bagi PH untuk mengubah pendekatan politiknya dengan mengetepikan apa yang disebutnya sebagai “isu lapuk” seperti 1MDB dan Najib Razak.

Beliau juga berkata, cabaran terbesar bagi pembangkang adalah perpaduan.

“Jika blok-blok tidak dapat bekerjasama, sukar untuk mencabar Barisan Nasional (BN) kerana apabila tiada perpaduan, akan berlaku pertembungan banyak penjuru yang akan menjadi kelebihan kepada BN seperti yang dilihat pada PRN,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.