Entiti luar pesisir kini diguna untuk dapatkan semula dana 1MDB

Entiti luar pesisir kini diguna untuk dapatkan semula dana 1MDB

Usaha ini dimulakan menerusi pemfailan kebankrapan Bab 15 oleh tiga syarikat berpangkalan di Kepulauan Virgin British.

Pentadbir tiga entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan 1MDB menyasarkan untuk mendapatkan semula lebih USD8.5 bilion yang didakwa diseleweng daripada syarikat itu. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Beberapa entiti luar pesisir, yang sebelum ini menjadi konduit kepada ratusan juta dolar yang diseleweng daripada 1MDB, kini digunakan semula untuk menjejak dana tersebut.

Pada Selasa, tiga syarikat berpangkalan di Kepulauan Virgin British yang dikaitkan dengan 1MDB memfailkan kebankrapan Bab 15 di Florida dengan menggunakan seksyen kanun Amerika Syarikat yang membenarkan penghutang asing membawa prosiding ke AS.

Matlamat mereka adalah untuk mendapatkan semula sebahagian daripada USD8.5 bilion yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, yang sebahagian daripadanya mungkin berada di AS, kata syarikat-syarikat itu.

Entiti luar pesisir itu “terbabit dengan penipuan yang dilakukan terhadap 1Malaysia Development Berhad”, kata mereka dalam pemfailan itu, dengan ada antaranya ditubuhkan semata-mata untuk menerima dana yang dicuri atau memindahkannya kepada entiti lain.

Mereka kini diawasi oleh pentadbir yang dilantik oleh kerajaan Malaysia.

Pemfailan Bab 15 itu direka bentuk untuk membantu pentadbir mengumpul maklumat daripada pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut dan merampas sebarang aset yang dapat dikesan.

Penyelia dana itu “telah mengenal pasti pelbagai individu dan entiti di AS yang sama ada terbabit atau memiliki pengetahuan” berkaitan transaksi yang dipertikaikan, menurut dokumen mahkamah.

“Sebahagian daripada dana yang hilang itu melalui entiti AS, termasuk pengurus pelaburan, pengurus dana dan entiti AS lain yang menyediakan perkhidmatan kepada pihak yang terbabit dalam penipuan itu.”

Ini susulan pertimbangan juri di Brooklyn, New York yang akan menentukan nasib bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Roger Ng yang dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng.

Menurut entiti-entiti itu, usaha Jabatan Kehakiman AS mendapatkan semula dana yang diseleweng itu mencapai sedikit kejayaan, tetapi mereka percaya USD1.15 bilion yang dicuri daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, iaitu induk dana di sebalik pemfailan pada Selasa itu, tidak dapat dikesan.

“Ada syarikat dan amanah yang mempunyai kaitan dengan penipuan itu masih belum dikesan,” kata peguam dalam dokumen mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.