
Ini menyusul kata sepakat yang dicapai antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Saifuddin Nasution Ismail, berhubung beberapa tindakan susulan berkaitan RUU itu.
Mereka berkata, sidang khas itu akan dilanjutkan sehingga Selasa depan untuk memberi masa bagi membahas dan meluluskan pindaan Perlembagaan itu.
Tonton video di sini.
Katanya, satu lagi sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan untuk pembentangan sebenar RUU Anti Lompat Parti dalam masa terdekat.
Mereka berkata, draf awal RUU pindaan Perlembagaan itu akan diedarkan kepada ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum dibentangkan pada Isnin depan.
“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan RUU ini mendapat sokongan majoriti 2/3 dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April,” katanya.
Wan Junaidi dan Saifuddin berkata demikian dalam kenyataan bersama hari ini selepas bermesyuarat di sebuah hotel tengah hari tadi.
Mesyuarat itu menyusul kenyataan Wan Junaidi semalam yang mengesahkan RUU yang ditunggu-tunggu itu, yang dijadual dibentangkan pada 11 April ini, ditangguhkan sekali lagi kerana Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangannya.
Sebelum itu, sumber memberitahu FMT bahawa Kabinet meminta semakan dibuat ke atas RUU itu dan kepada rang undang-undang antilompat parti, selain Putrajaya sedang menyelesaikan beberapa isu, termasuk apakah yang ditakrifkan sebagai lompat parti.
Penangguhan kali kedua untuk menggubal undang-undang antilompat parti itu mendorong sebilangan wakil rakyat PH menggesa gabungan pembangkang itu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan kerajaan.
MoU PH dan kerajaan itu menyatakan RUU Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan dalam sidang pertama Dewan Rakyat pada tahun ini. Sidang pertama itu berakhir 24 Mac lalu.