2 mangsa pemerdagangan kongsi pengalaman ngeri di Kemboja

2 mangsa pemerdagangan kongsi pengalaman ngeri di Kemboja

Mereka diarahkan menipu orang dari seluruh dunia dan akan dipukul atau tidak diberikan makanan jika gagal mencapai prestasi.

Michael Chong ketika berbual dengan mangsa pemerdagangan yang ditahan sindiket di Kemboja.
KUALA LUMPUR:
Dua mangsa sindiket jenayah di Kemboja berkongsi pengalaman ngeri yang dilalui mereka ketika ditahan di bawah tekanan di negara itu.

Seorang daripadanya yang menghubungi Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong secara rahsia, mendedahkan kira-kira 50 orang dari pelbagai negara, termasuk Jepun, Amerika Syarikat dan Malaysia, dikurung dalam sebuah bangunan oleh sindiket itu.

“Kami dipaksa bekerja lebih 15 jam sehari tanpa henti. Kami diarahkan menipu orang dari seluruh dunia ke datang ke sini.

“Mereka akan mendera kami, sekiranya kami gagal merekrut orang baharu. Lebih 30 daripada kami telah dizalimi. Pernah juga kami tidak diberi makanan dan minuman apabila gagal mencapai prestasi,” kata mangsa itu dalam perbualan secara langsung melalui pembesar suara telefon pada sidang media.

Ditanya jika mereka boleh melarikan diri, mangsa itu yang identitinya dirahsiakan demi keselamatannya, mendakwa mustahil untuk melarikan diri kerana bangunan itu dikawal ketat 10 pengawal keselamatan yang dilengkapi senjata api.

Mangsa itu merayu polis Malaysia menyelamatkan mereka secepat mungkin dan Chong berkata, pihak berkuasa giat mengesan kedudukan mereka untuk menyelamatkan semua mangsa.

Seorang lagi mangsa yang difikirkan ditahan sindiket lain di Kemboja mendakwa, kumpulannya terdiri daripada 13 rakyat Malaysia, termasuk lima wanita, serta 16 lagi dari negara lain.

“Kami diarahkan menipu orang untuk datang bekerja di sini dengan tawaran gaji lumayan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan dikurung di sebuah bilik gelap selama beberapa hari tanpa makanan.

“Mangsa wanita akan dihina dan diugut, sekiranya tidak mematuhi arahan,” katanya.

Seperti mangsa pertama, lelaki itu berkata, tiada cara untuk melarikan diri kerana semua jalan keluar sudah disekat.

Minggu lalu, polis dilaporkan menerima enam laporan membabitkan 24 lelaki dan dua wanita yang diperdaya serta dieksploitasi untuk bekerja di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan berkata, mereka akan mendapatkan bantuan Interpol dan Aseanapol untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.